Pages

Monday, May 16, 2011

(EVENT) Guru Oh Guru..Selamat Hari Guru, Cikgu2...

Kata Pujangga
Kepada semua guru dan warga pendidik yang pernah memberi ajaran kepada diri ini, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan..let me list down all learning institutions yang pernah aku belajar sejak dari kecil hingga le dewasa..


1. Tadika KEMAS Padang Besar, Perlis - Cikgu Laila, Kak Na
2. Sekolah Kebangsaan Padang Besar Utara, Perlis - Cikgu Norashikin, Teacher Anita, Cikgu Zubaidah Bee, Cikgu Sharifah, Cikgu Norhayati, Cikgu Idris, Cikgu Rahim Guru Besar, Cikgu Goh, Cikgu Azhar, Ustaz Yazi, etc..
3. Sekolah Alam Shah (SAS), Kuala Lumpur - Cikgu Faizahani, Girang, Hero Sensei, etc..
4. Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis - Cikgu Azizah, Cikgu Tengku Bahiyah, Cikgu Azizul (Pak Jun), Pak Jan, Cikgu Azrin (To'In), Ustaz Buhari, etc..
5. MRSM Taiping, Perak - Cikgu Suriani, Ms Chan Kum Leen, Ustazah Che Som, Cikgu Abdullah, etc..
6. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor - to many to name them all..


Terima kasih 3x...

(SOSIAL) Bila Perceraian Jadi Masalah Negara

Bila kahwin "SSS" dan bila bercerai juga "SSS". Mungkin ada yang pernah mendengar ungkapan ini dan sebahagiannya mungkin akan ketawa berderai-derai bila mendengarnya.

Lucu sangat kah ungkapan ini?

Apabila tiga "SSS" atau "Suka Sama Suka" ini menjadi penutup tirai sebuah perkahwinan, sebenarnya perkara ini bukan sesuatu yang sewajarnya dijadikan bahan ketawa.

Natijah terlerainya sebuah ikatan perkahwinan dengan perceraian setelah bertahun-tahun bercinta bukankah semestinya sesuatu yang mendukacitakan?

Ada juga yang inainya masih merah di jari tetapi mahligai perkahwinan yang baru dibina sudah bagai retak menunggu belah!

"Masalah yang sering berlaku ialah apabila mereka yang berdepan dengan situasi itu melihat perceraian sebagai satu pilihan.

"Apa yang kita boleh buat kesimpulan orang itu tidak serius tentang perkahwinan, sebab itulah mudah sangat untuk bercerai," Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkongsi pandangannya dengan Bernama.

Beliau ditemui di seminar "Wanita dan Cabaran Aliran Pasca-Modenisme: Penilaian dari Perspektif Islam" anjuran Ikim dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini baru-baru ini.

Dr Zaleha sebelum itu menyampaikan kertas kerja bertajuk kertas kerja "Wanita Islam dan Institusi Kekeluargaan Dalam Era Pasca-Modernisme".

MASALAH NEGARA

Jika sebelum ini perceraian sering dianggap masalah peribadi atau masalah individu, kini ia tidak boleh dianggap begitu lagi.

Dr Zaleha mengambil contoh apa yang berlaku di Amerika Syarikat di mana kerajaan negara itu terpaksa mengambil alih tanggungjawab untuk memastikan kepentingan isteri dan anak-anak terjaga dan terbela.

Menurut beliau, hasil penyelidikan yang dibuat, lima daripada 10 perkahwinan di Amerika Syarikat berakhir dengan perceraian.

Dalam kebanyakan kes, taraf kehidupan wanita yang bercerai menurun berbanding bekas suami yang meningkat taraf kehidupan mereka.

Wanita berkenaan terpaksa keluar bekerja dan pendapatannya terpaksa digunakan untuk menyara nafkah keluarga kerana bekas suaminya lepas tangan.

"Meskipun ada penyelesaian perceraian tetapi dari segi pelaksanaan perintah mahkamah, ia sukar dilaksanakan.

"Jadi bila ada masalah yang begitu, yang menanggung keluarga adalah perempuan dan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa mengambil alih tanggungjawab ini atas dasar kebajikan supaya perempuan itu dan anak-anaknya tidak dizalimi," jelasnya.

Menurut beliau, kadar perceraian yang tinggi juga mengakibatkan perubahan struktur sosial yang besar di Amerika Syarikat.

Tambahnya, jumlah ibu tunggal yang tinggi memberi kesan kepada program kebajikan yang dianjurkan kerajaan terutama kepada keluarga yang diketuai wanita berkenaan.

KES BERJANGKIT

Perkembangan dalam negara menunjukkan gaya era pasca modernisme di Amerika Syarikat itu dari aspek institusi kekeluargaan dan keruntuhan rumah tangga sudah berjangkit ke Malaysia.

Dr Zaleha yang memberi pandangan itu berkata situasi sedemikian sudah lama berlaku.

Beliau menyandarkan pandangannya kepada senario di mana pihak kerajaan terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga keluarga yang terlibat dengan isu perceraian.

Beliau merujuk kepada Badan Sokongan Keluarga (BSK) yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu para isteri yang bercerai tetapi tidak mendapat nafkah daripada bekas suami meskipun sudah ada perintah mahkamah.

"Dalam hal ini kerajaan mendahulukan wang untuk membantu isteri. BSK kemudian terpaksa mencari suami perempuan itu.

"Kerajaan sebagai pemerintah perlu masuk campur kerana kesan perceraian bukan sahaja kepada si isteri tetapi juga kepada anak-anak.

"Sistem perundangan yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan dan kerajaan terpaksa mencipta satu sistem lain untuk menampung kekurangan itu.

"Persoalan yang ditimbulkan oleh penyelidik seperti saya ialah bagaimana untuk mendapatkan bapa-bapa ini melaksanakan tanggungjawab mereka, " katanya.

Dr Zaleha memberitahu bahawa beliau dan sekumpulan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah membuat kajian pada 2006 atas permintaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Kajian itu ialah untuk melihat setakat mana perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah dipatuhi suami.

Menurut beliau, hasil kajian mendapati 80 peratus perintah tidak dapat dilaksanakan.

"Jadi perintah yang diperoleh isteri hanya penghakiman atas kertas sahaja. Apa dia nak buat? Takkan nak letak dalam bingkai gambar.

"Perintah dapat cepat tapi pelaksanaan perintah adalah sukar. Jadi BSK ini digunakan sementara suami perempuan itu dapat dikesan.

"Inilah yang saya kata perceraian sudah menjadi masalah kerajaan. Individu jangan kata bercerai itu hak dia. Memang boleh bercerai tetapi anak-anak siapa nak jaga?" soal Dr Zaleha.

MASALAH NILAI

Persoalannya sekarang bagaimana untuk memastikan suami dan isteri mempunyai tanggungjawab dalam diri mereka dan mengambil serius akan perkara ini.

Di dalam hal ini, Dr Zaleha mengaitkannya dengan masalah nilai.

Menurut beliau, dalam era pasca modernisme, soal nilai dipandang enteng atau ringan.

"Sepatutnya bila kita ada kursus praperkahwinan, melalui kursus ini seseorang itu diterapkan dengan nilai-nilai bahawa perkahwinan itu perlu dilihat secara serius.

"Tetapi mencukupikah dengan dua hari untuk seseorang itu diterapkan dengan nilai yang diperlukan. Ada yang datang setakat untuk mengambil sijil! Ada juga yang minta nak datang kursus satu hari sahaja. Di mana keberkesanannya?

"Bagaimanapun, kesimpulan yang kita boleh buat bila berlaku perceraian ialah individu itu tidak serius, itulah sebabnya dia bercerai," kata Dr Zaleha.

GUNA 'FACEBOOK'

Beliau turut memberi contoh kes pasangan yang menggunakan laman web sosial seperti 'facebook' untuk memaparkan masalah perkahwinan dan mendapatkan nasihat.

Menurutnya orang yang begitu tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalahnya dan menggunakan facebook untuk mendapatkan nasihat kawan-kawan.

"Istilah yang kita gunakan tiada hijab dalam rumah tangga. Kenapa jadi macam itu? Sebab facebook itu sahaja tempat dia meluaskan perasaannya. Habis semua rahsia rumah tangga didedahkan.

"Pada saya facebook itu bukan penyebab keretakan rumah tangga. Suami isteri itu sendiri sudah ada masalah. Facebook itu hanya sebagai cara untuk mempercepat perkahwinan itu berkubur.

"Macam pisau. Ia juga boleh digunakan untuk mempertahan diri atau untuk membunuh orang," jelas Dr Zaleha.

Timbalan Ketua Pengarah Ikim itu seterusnya melahirkan pandangan agar para imam dapat memainkan peranan untuk membantu pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan.

"Jika masjid ada pusat kaunseling di mana para imam dapat memainkan peranan penting, ini amat membantu.

"Para imam termasuk ustaz yang sudah bersara mempunyai ilmu yang banyak dan mereka mungkin hanya memerlukan latihan kemahiran berkomunikasi untuk menasihati pasangan yang bermasalah," tambahnya.

PERLU SEIMBANG

Dalam masa yang sama Dr Zaleha turut menyarankan supaya anak-anak diberi pendidikan yang seimbang, antaranya supaya mereka dapat membezakan antara baik dan buruk.

Katanya, ibu bapa mungkin berbangga anak mereka dapat menjejak kaki ke menara gading tetapi persoalannya sama ada anak itu juga cukup pendidikan agama.

"Kalau tidak, kita akan mempersoal bila dia besar nanti mengapa dia jadi seorang yang tidak seimbang, kerana pendidikan yang diterima itu sendiri tidak seimbang.

"Dia mungkin ada Ph.D tetapi ilmu agamanya hanya di peringkat tadika.

"Kesimpulannya sama ada pendidikan agama yang diperoleh di sekolah membantu dalam memandu anak-anak kita seterusnya dalam kehidupan mereka. Kehidupan di sekolah dan universiti jauh berbeza.

"Ahli-ahli pendidik semua tahu isu ini, masalah yang dihadapi di universiti. Kita terpaksa mewarisi masalah dalam sistem pendidikan kita. Untuk itu kita perlu menerapkan pendidikan yang seimbang, " tegasnya.

Dr Zaleha turut berpandangan ibu bapa juga perlu diberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan yang seimbang.

"Apa yang mungkin diperlukan ialah satu program kemahiran keibubapaan dalam kerangka keibubapaan Islam.

"Kami juga mungkin mencadangkan kepada Jakim untuk mengkaji keberkesanan kursus praperkahwinan, mengenal pasti masalah dan mengemukakan cadangan," katanya.

ARUS PERUBAHAN

Sementara itu, Dr Zaleha dalam kertas kerjanya memberitahu bahawa sepertimana institusi yang lain, institusi kekeluargaan juga tidak terkecuali daripada perubahan.

Katanya, sistem nilai yang kerap berubah dan tidak ada kepastian semasa era pasca modernisme, institusi kekeluargaan dilihat sebagai satu institusi yang tidak stabil kerana nilai yang sentiasa berubah-ubah.

Bagaimanapun, Dr Zaleha menegaskan, sebagai analogi arus perubahan ini bagaimanapun tidak boleh dibiarkan mengikut kehendak cuaca dan angin.

"Nakhoda perlu memastikan kapal tidak karam dalam badai yang melanda, " jelasnya."

Beliau turut memberi contoh budaya hippie yang diperkenal pada tahun 1960an yang memulakan budaya baru yang sebenarnya menolak nilai budaya masyarakat Barat ketika itu.

Budaya itu, yang tidak terikat kepada sebarang nilai tertentu di bumi Amerika, kemudian berjangkit ke negara-negara luar melalui wahana muzik dan cara berpakaian di samping pengamalan seks bebas dan penggunaan dadah yang berleluasa.

Menurut beliau, sejak tahun 1980an juga hubungan sosial tidak lagi dilandaskan kepada hubungan kekerabatan dan perkahwinan tetapi lebih kepada mengikut kehendak individu.

Kebanyakan hubungan peribadi melangkaui batas hubungan biasa dengan mengagung-agungkan nilai "hak untuk melakukan apa yang saya suka" termasuk hubungan sesama jenis (pasangan gay dan lesbian).

"Berkesedudukan di luar nikah antara dua pasangan yang berlawanan jenis tidak dilihat sebagai satu isu besar dan berdosa kerana agama tidak lagi menjadi asas kepada hubungan peribadi.

"Hubungan menjadi longgar kerana masing-masing tidak ada komitmen untuk tinggal bersama selama-lamanya. Budaya ini terus disemarakkan oleh budaya Hollywood yang menjadikan bertukar-tukar pasangan itu satu kebiasaan dan patut dibanggakan," tambahnya.

TOLAK PERKAHWINAN

Dr Zaleha juga berkata sesetengah pasangan menolak perkahwinan dan menganggap ia menyusahkan.

Di kebanyakan negara, hak pasangan yang bersekedudukan diiktiraf sama seperti hak suami dan isteri termasuk pembahagian harta dan penjagaan anak-anak luar nikah sekiranya mereka bersetuju untuk tidak kekal sebagai satu pasangan.

Bagi pasangan yang masih terikat dengan norma masyarakat tradisional atau mahu memuaskan hati ibu bapa mereka tetapi ingin meraikan kebebasan asasi mereka, Dr Zaleha berkata mereka itu akan memilih untuk berada dalam perkahwinan yang terbuka.

Persetujuan itu, tambahnya, tidak hanya kepada pihak suami tetapi juga terpakai kepada isteri atas nama kesaksamaan hak.

Apa yang berlaku, jelasnya ialah amalan bertukar-tukar pasangan dan seks bebas tanpa melibatkan isu moral dan perasaan berdosa.

Sumber: Bernama

(HEALTH) Kenali Dan Atasi Masalah Alergi

Adakah anda sering mengalami hidung berair, episod bersin berulang kali, berasa gatal di hidung dan mata, dan hidung tersumbat?

Jika jawapan anda ialah 'ya' bagi semua atau mana-mana satu ia mungkin simptom, Rinitis Alergi, dan perkara terbaik untuk dilakukan ialah berjumpa doktor dengan seberapa segera.

"Kemungkinan satu daripada setiap tiga warga Malaysia menghidap satu bentuk alergi dengan bilangan besar berlaku kepada kumpulan umur lebih muda," kata Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, Presiden Pertubuhan Malaysia bagi Alergi dan Imunologi (MSAI).

APA DIA ALERGI?

Lazimnya ramai yang masih belum jelas akan masalah 'alergi'. Secara ringkas, ia sejenis gangguan hipersensitif pada sistem imun.

Dalam kebanyakan kes simptom-simptom dapat dilihat di tiga bahagian tubuh: gastrousus, respiratori dan kulit.

Kanak-kanak berusia sehingga lima tahun lebih cenderung untuk mengalami simptom di bahagian gastrousus dan kulit.

Sementara itu, simptom alergi respiratori akan bermula apabila seorang kanak-kanak mencapai usia tiga tahun dan selepas usia lima tahun ia secara perlahan-lahan akan berkembang sebagai simptom alergi paling lazim.

TINDAKAN BALAS RANTAI

Reaksi alergi bermula apabila seseorang dengan sistem imun hipersensitif terdedah kepada alergen yang boleh jadi hama debu yang ditemui di rumah, rumput, pokok, debunga, haiwan kesayangan, lipas, kulapuk, habuk dan yang lain.

Sebagai tindakbalas, tubuh akan mengaktifkan sejenis sel darah putih yang dikenali sebagai 'mast cell' yang kemudian mencetuskan respons inflamasi.

Secara fizikal kesan ini dapat dilihat apabila mereka yang terbabit mula bersin berulang kali, mengalami hidung berair dan berasa gatal di hidung dan mata.

Simptom ini boleh bertambah buruk jika tiada tindakan diambil. Selepas beberapa jam mereka yang terbabit mungkin mengalami hidung tersumbat, mata membengkak, rasa letih, tidak dapat mengawal perasaan atau mengalami gangguan tidur.

KEDUDUKAN ALERGI DI MALAYSIA

"Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa terdapat pencetus spesifik bagi alergi, atau impak yang disebabkan oleh alergi pada aktiviti harian dan prestasi mereka," tambah Dr Amir Hamzah.

Para penyelidik dari Universiti Malaya yang menjalankan saringan rambang ke atas 136 responden di sebuah kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur pada 2010 menemui data penting.

Walaupun 79.1 peratus responden mencatatkan episod Rinitis Alergi, hanya 28.3 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan!

Keputusan saringan itu juga menunjukkan bahawa pencetus utama adalah debu, cuaca dan makanan. Sejumlah 80.2 peratus daripada responden menyalahkan debu bagi masalah itu diikuti oleh faktor cuaca dan alergen berkaitan makanan.

Kualiti kehidupan mereka yang terbabit juga terjejas teruk. Hampir 53 peratus daripada mereka dengan masalah ini mengalami gangguan tidur, 41.5 peratus menyaksikan masalah ini menjejaskan produktiviti mereka dan 31.1 peratus mendapati gaya hidup sosial mereka terjejas.

PENGALAMAN MEI FOONG

Bagi mereka seperti Pook Mei Foong, 30, semasa usia lima tahun beliau mengalami masalah hidung berair dan mata gatal apabila pergi ke tempat yang sejuk seperti Cameron Highlands.

"Selain daripada simptom ini, saya mula merengus dan mood saya tidak baik. Saya tidak dapat menikmati kehidupan seperti mereka yang lain sehingga saya menemui penawar dan saya kini berasa hebat!"

Pada usia 28 tahun, Mei Foong memutuskan untuk berjumpa doktor berhubung masalah itu yang akhirnya menemui jalan penyelesaian - ubat pil harian dan penyembur nasal.

"Alergi tidak boleh hilang tetapi dengan bantuan doktor ia boleh diuruskan. Mereka yang mengenali diri saya berkata saya kini nampak lebih ceria," tambah beliau.

TINDAKAN PERLU

"Sementara alergi tidak memudaratkan, impak terhadap kehidupan mereka yang menghidapnya dapat dilihat daripada simptom fizikal hinggalah tekanan emosi yang banyak menyukarkan kehidupan mereka," kata Dr Jeevanan Jahendran, anggota jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Malaysia bagi Pakar-pakar Otorinolaringologi - Pakar-pakar Bedah Kepala dan Leher (MSO-HNS).

Kurangnya kesedaran akan keadaan ini menjadi punca mengapa banyak kes tidak dapat didiagnosis dan dirawat. Untuk menangani isu ini, MSO-HNS dan MSAI dengan sokongan rakan industri GlaxosmithKline (GSK) telah memulakan kempen awam dikenali sebagai 'Hidup Bebas Alergi'.

Kempen ini dikhususkan bagi meningkatkan kesedaran umum akan alergi, menunjukkan kaitan antara penyakit pada hidung, kulit dan lelah.

Kempen ini dikendalikan melalui 500 buah klinik serta hospital dan 200 farmasi di seluruh negara.

Untuk membantu dalam usaha ini, kit Uji Diri Alergi (AST) telah dilancarkan sebagai satu perkakas untuk membantu orang ramai menguji sendiri sama ada mereka menghidap alergi respiratori. Kit ini sebenarnya adalah set soalan yang mengambil masa kurang tiga minit untuk dijawab.

"Orang ramai kini mempunyai perkakas untuk membuat penilaian dengan sendiri," kata Elamaran K.Sundram, Pengarah Unit Perniagaan, Jenama Perusahaan, Pemasaran Saluran dan Analitik Perniagaan GSK.

Jika seseorang itu didapati positif alergi selepas menjalani ujian itu, adalah lebih baik berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut berhubung strategi intervensi atau rawatan wajar.

Orang ramai boleh memperoleh AST di klinik serta farmasi yang mengambil bahagian di seluruh dunia atau layari laman web MSAI (www.allergymsai.org).

Hari ini, Mei Foong boleh ke mana-mana dan dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai pengaturcara komputer, yang memerlukan beliau bertugas di pejabat-pejabat yang sejuk. Beliau juga mula belajar berenang yang menjadi sukan pilihannya - sesuatu yang beliau tidak boleh lakukan sehingga beberapa tahun yang lepas.

Kualiti kehidupan adalah begitu berharga. Sungguhpun alergi sering dianggap satu senario biasa dalam masyarakat, ia sebenarnya boleh membawa kesan teruk kepada penghidap.

Satu langkah dan nasihat yang mudah mampu membawa keajaiban terhadap kehidupan mereka berkenaan.

Marilah kita teladani kisah Mei Foong untuk kebaikan bersama.


Sumber: Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...